Written by Abdul Hakam 

Pendidikan merupakan teras kepada semua kehidupan manusia supaya dapat menjadi insan yang berpengetahuan. Oleh itu semua pihak berhak mendapatkan pendidikan yang sewajarnya tanpa dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Hal ini disebabkan kerana manusia sebagai manusia sebagai makhluk sosial yang telah dianugerahkan akal memerlukan santapan ilmu pengetahuan semua akal yang diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin.

Walau bagaimanapun bagi menjadi insan yang bersifat madani memerlukan pendidikan yang berteraskan kepada konsep wahyu tanpa mengenepikan peranan akal yang telah di anugerahkan oleh Allah SWT. Corak pendidikan yang baik merupakan corak pendidikan yang dapat menjadikan manusia sedar akan akan dirinya sebagai hamba kepada pencipta-Nya dan kehidupannya perlu sentiasa mematuhi fitrah dan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Hakikatnya dunia pendidikan dikebanyakan negara hari ini telah dipengaruhi dengan corak pendidikan yang bersifat sekularisme. Pendidikan sebegini diasaskan adalah semata-mata ingin memenuhi kehendak manusia untuk kehidupan mereka di dunia sehingga meminggirkan tentang kepentingan agama termasuklah dalam membuat penilaian baik dan buruk sesuatu perkara. Corak pendidikan sebegini akan melahirkan manusia yang hanya akan mementingkan diri sendiri dan pada masa turut sama ingin mengeksploitasi manusia lain demi memenuhi nafsu sendiri.

Oleh itu perkara utama yang perlu diperjelaskan dan dibincangkan di sini ialah pengertian tentang sekular dan kritikan ke atasnya. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, istilah sekularisme telah terbit daripada istilah secular yang berasal daripada perkataan bahasa Latin Saeculum. Maksud bagi perkataan ini merujuk kepada ‘masa’ dan ‘tempat’ atau ‘lokasi’.

‘Masa’ yang dimaksudkan di sini ialah ‘kini’ atau ‘sekarang’ dan ‘tempat’ dimaksudkan dengan dunia atau yang berhubung dengan dunia (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1978: 14). Dengan ini dapatlah difahami bahawa konsep sekular merujuk kepada keadaan dunia pada ketika ini atau pada zaman ini sahaja dan tidak mengira kehidupan di akhirat.

Manakala tokoh ulama Islam kontemporari iaitu Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi telah memberi tafsiran yang jelas kepada maksud sekular iaitu al-La Diniyyah (tanpa agama) atau al-Dunyawiyah (keduniaan). Beliau juga telah menjelaskan lagi bahawa maksud bagi perkataan itu adalah bukan lawan bagi ukhrawiyyah sahaja, bahkan dengan makna yang lebih khusus ialah “perkara yang tidak ada kaitan dengan agama” ataupun “perkara yang hubungannya dengan agama adalah hubungan yang tadhod (berlawanan)” (Yusuf al-Qardhawi 1999:63).

Beliau dengan jelas mengkritik aliran pendidikan yang bersifat sekular dengan menyatakan bahawa:

“Tidak pernah wujud dalam Islam sebagaimana yang kita lihat akhir-akhir ini wujudnya pembahagian pendidikan agama dan pendidikan bukan agama. Tidak pernah wujud dalam Islam kumpulan manusia yang dinamakan sebagai golongan agama (rijal al-Din) manakala golongan lain dinamakan sebagai golongan sains, politik atau keduniaan. Islam tidak pernah mengenali wujudnya dua bentuk kekuasaan yang mana salah satunya adalah keagamaan, manakala yang lain adalah kekuasaan keduniaan (sekular)”.

Jelas beliau lagi:

“Sekular merupakan barangan barat yang bukan berasal daripada tanah air kita dan ia adalah tidak menepati kehendak akidah dan kepercayaan pemikiran kita”.

Melalui penjelasan yang dibuat di atas bahawa dalam kita seharusnya memahami hakikat yang tersirat di sebalik sekularisme dan sekularisasi yang banyak menyerap dalam sistem pendidikan di kebanyakan negara Barat serta negara bekas jajahan Barat. Pendidikan yang berteraskan sekularisme ini akan membawa individu dan masyarakat terpesong daripada memahami dan mengamalkan nilai dan norma Ilahi. Penerimaan konsep ini dalam sistem pendidikan akan membawa manusia kepada kehancuran kerana unsur yang bersifat pemerasan, pengkhianatan, kezaliman dan segala bentuk pencabulan atau pemalsuan merupakan aspek yang banyak terkandung dalam sistem pendidikan yang bercorak sekularisme (Fadhlullah Jamil 2007:25).

Jika sistem pendidikan yang berteraskan sekularisme ini menjadi dasar kepada sistem pendidikan di negara ini, tidak mustahil bahawa generasi yang lahir mengikut acuan ini akan menjadi musuh kepada agama dan negara. Oleh itu sebagai respon kepada pendidikan yang berteraskan sekularisme, konsep Pendidikan Bersepadu telah diperkenalkan dengan cara memahami pengajaran sebenar dalam lingkungan pendidikan yang berteraskan akidah yakni kepercayaan kepada Allah SWT sebagai punca bagi ilmu.

Dapat diingatkan di sini bahawa Pendidikan Bersepadu tidak menerima apa-apa jua corak pemikiran dan pendidikan yang berteraskan sekularisme. Allah SWT juga telah memberi amaran kepada mereka yang hanya mengamalkan sebahagian daripada ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain. Mereka ini akan mendapat balasan di akhirat serta Allah SWT menghina mereka di atas sikap yang menolak kepentingan agama dalam pendidikan.

Firman Allah SWT:

“Apakah kamu akan percaya hanya sebahagian daripada isi Al-Kitab itu dan yang sebahagian lagi kamu engkari? Maka tidak ada balasan bagi orang yang berbuat demikian kecuali kehinaan hidup di dunia dan di hari kiamat kelak mereka akan dilemparkan azab yang sangat berat”. (Surah Al-Baqarah:85)

Rujukan :

Fadhlullah Jamil. 2007. Islam di Asia Barat moden: penjajahan dan pergolakan. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi. 2002. Pertentangan Islam dan sekular: sekular pasti tersungkur. Selangor: Maktabah al-Qardhawi.

Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1978. Islam and secularism. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM).